Dunia pada waktu itu bolehlah dikatakan telah dikuasai oleh dua kerajaan yang gagah iaitu Parsi dan Rom. Rom merupakan satu tamadun yang mempunyai kesinambungan dari tamadun Yunani. Kerajaan Rom mempunyai semangat yang tinggi untuk melebarkan jalur kuasanya. Kedaulatan dan ‘supremacy’ ke atas negara-negara asing merupakan matlamatnya yang tertinggi. Rom juga pada waktu itu berada dalam arena perjuangan untuk memodenisasikan agama Kristian supaya agama ini selari dengan kehendak dan cita-cita pemerintah. Secara umumnya, dapatlah kita katakan agama yang menjadi pegangan kuat Rom ialah Kristian.
Manakala Kerajaan Parsi pula, pemerintah dan pembesar keseluruhannya menganut agama Majusi. Parsi mengalami masalah keruntuhan moral yang kritikal dalam kalangan rakyatnya. Struktur sosial rumah tangga dan masyarakat bercelaru kerana perkahwinan sesama ahli keluarga dibenarkan. Anak lelaki dibolehkan berkahwin dengan ibunya, anak perempuannya dan saudara perempuannya.
Kerosakan nilai dan moral yang dialami oleh kerajaan Rom dan Parsi adalah disebabkan oleh penumpuan yang sepenuhnya ke arah kemajuan berteraskan material semata-mata. Nilai-nilai murni dan budi pekerti luhur dinafikan peranannya dalam pembinaan tamadun. Di Semenanjung Arab pula, penduduknya tidaklah hidup dalam gejala sosial yang berpunca daripada politik pemerintah dan tidak pula menikmati kemewahan material sepertimana yang terdapat di Rom dan Parsi. Mereka langsung tidak menganut apa-apa falsafah dan idealogi yang dibawa oleh kedua-dua buah kuasa besar tadi.
Orang Arab pada waktu itu hanyalah mengalami ketandusan ilmu pengetahuan yang dapat menyuluh jalan kehidupan mereka. Mereka hidup dalam keadaan jahiliah. Dalam Al-Quran ada diterangkan tentang kejahilan masyarakat Aràb.
Maksudnya: “Dan sesungguhnya kamu sebelum hari ini adalah dari golongan orang yang telah sesat”
Tidak pernah terdapat dalam coretan sejarah yang menceritakan tentang keunikan tamadun Arab pada zaman pasca kelahiran Nabi Muhammad, tetapi yang ada hanyalah kemerosotan akhlak, kejahilan ilmu dan kemelut sosial yang menghimpit penduduk Arab ketika itu.
Jika ditinjau daripada latar belakang masyarakat dan kedudukan geografi pada zaman Rasulullah, dapatlah kita gali hikmah-hikmah di sebalik pemilihan Tanah Arab sebagai lokasi strategik yang menjadi tempat bermulanya obor-obor dakwah islamiah. Tanah Arab yang terletak di tengah-tengah glob menjadikannya strategik ke arah tersebarnya Islam. Islam tersebar dari kawasan yang dikelilingi pelbagai bangsa. Hal ini memudahkan penyebaran Islam sama ada dari segi dakwah mahupun perluasan wilayah. Islam seolah-olah bermula daripada satu titik dan makin lama titik itu berkembang merentasi dunia.
Diutuskan Nabi Muhammad di kawasan yang bebas daripada pengaruh mana-mana kerajaan besar menjadi hujah yang konkrit untuk menangkis syak wasangka terhadap Rasulullah. Syak wasangka yang mungkin timbul ialah adakah Rasulullah ini membawa risalah Islamiah yang muncul daripada pemikiran Rom dan Parsi. Sangkaan buruk terhadap Rasulullah yang mendakwa baginda membawa ajaran kerana mempunyai kepentingan politik juga dapat dihindarkan. Rasulullah juga diutuskan dalam keadaan buta huruf bagi menolak pandangan musuh Islam yang mendakwa baginda menulis sendiri Al-Quran. Disebabkan Al-Quran diturunkan di Tanah Arab, maka tuduhan yang mengatakan bahawa Al-Quran itu hasil daripada fahaman Romawi, Parsi dan Yunani dapatlah ditolak bulat-bulat.
Namun, perlulah kita ingat bahawa Allah berkuasa atas segala sesuatu. Allah berhak mengatur mengikut kehendak-Nya. Bukanlah bermakna Allah memilih Tanah Arab sebagai tempat terpancarnya iman oleh sebab untuk mengelakkan bebanan. Sekiranya Allah mahu utuskan nabi di kawasan-kawasan lain selain Tanah Arab, maka itu tidaklah menjadi masalah bagiNya. Nescaya, Allah akan menyediakan kemudahan dan cara-cara sehingga berjaya dakwahnya sepertimana yang berlaku di Semenanjung Arab.
Oleh itu, antum sekalian, ingatlah bahawa Allah tidaklah merancang atau mengatur sesuatu dengan sia-sia. Setiap ciptaan dan perancangan Allah membawa seribu makna dan hikmah yang mungkin tidak dapat digapai oleh ilmu manusia. Namun, itu tidak bermakna kita perlu berhenti berfikir. Tuntutlah ilmu, berfikirlah tentang kejadian-kejadian Allah di muka bumi, maka insya Allah, diri antum akan hampir dengan Allah.
Diadaptasi daripada
Fiqh Al-Sirah karya Sa’id Ramadan Al-Buti
Nukilan : Muaz Muawiz
No comments:
Post a Comment